PLC ialah singkatan kepada program professional learning communities. PLC merupakan koleksi aktiviti akademik secara bersepadu berteraskan lima strategi utama sebagai usaha menyokong dan memperbaiki pencapaian murid dan sekolah. PLC akan menjadi simbol usaha secara komprehensif dan cita-cita besar KPM bagi mencabar, memotivasi serta membantu sekolah meningkatkan pencapaian.
Professional Learning Community (PLC) merujuk kepada para pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan dalam membuat inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapaiprestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka. (Rosenholtz, 1989; Little & McLaughlin, 1993; DuFour, Eaker, & Many, 2006)
PRINSIP ASAS PLC
(i) Memastikan pembelajaran murid. (ii) Budaya kolaboratif. (iii) Fokus kepada pencapaian.
STRATEGI PLC
1. Dialog Reflektif (Reflective Dialogue) (a) Menggunakan Protokol Perbincangan (Using Discussion Protocols) - Mesyuarat bulanan untuk membincangkan artikel mengenai pelbagai aspek pengajaran dan pembelajaran. (b) Kelab Buku (Book Clubs) - Sekumpulan guru membaca dan membincang artikel atau buku setiap bulan. (c) Kumpulan Belajar (Study Groups) - Belajar atau berbincang suatu topik yang khusus. Sebagai contoh, kemahiran berfikir, pelbagai kecerdasan atau kajian tentang minda. (d) Kritikan Video Pengajaran Guru (Video Critiques of Teaching Moments) - Menonton dan berbincang klip video pengajaran guru.
2. Penswastaan Amalan (DePrivatization of Practice) (a) Belajar Secara Berjalan (Learning Walks) - Berjalan di sekeliling sekolah dan memerhatikan pengajaran guru lain dan aktiviti bilik darjah dengan menggunakan protokol atau fokus yang spesifik.
(b) Bimbingan Rakan Sebaya Guru / Pembimbing Instruksi (Peer Coaching/ Instructional Coaches) - Secara sistematik memerhatikan pengajaran guru lain dengan menggunakan kitaran pra konferens, pemerhatian dan pasca-konferens (pre-conference, observation, post-conference cycle).
(c) Belajar menggunakan Rancangan Pengajaran Harian (Lesson Study) - Sekumpulan guru secara usaha sama membina satu rancangan pengajaran; diikuti dengan pengajaran/memerhatikan pengajaran, membuat penambahbaikan semasa sesi pengajaran.
(d) Sesi Perkongsian Guru (Teacher Sharing Sessions) - Sekumpulan guru bertemu secara kerap untuk berkongsi amalan pengajaran terbaik.
3. Fokus Secara Kolektif Terhadap Pembelajaran Murid (Collective Focus on Student Learning) (a) Analisis Data (Data Analysis) - Secara kolektif mengkaji dan membincangkan data agregat murid. Tujuannya adalah untuk mencari pola atau tema agar dapat membuat keputusan tentang penambah baikan dalam bidang kurikulum atau mengkategorikan kembali dalam kumpulan yang berbeza.
(b) Pemetaan Kurikulum (Curriculum Mapping) - Membangunkan peta kurikulum mengikut topik, standard dan aktiviti untuk setiap mata pelajaran untuk dijadikan panduan instruksi serta untuk berkongsi dengan murid dan ibubapa.
(c) Pentaksiran Serentak (Common Assessments) - Guru yang mengajar dalam tahun atau tingkatan yang sama menyediakan pentaksiran serentak yang diselaraskan dengan standard dan indikator.
(d) Kumpulan Rakan Kritikal (Critical Friends Groups) - Menggunakan protokol untuk mengkaji dan membincangkan hasil kerja murid (sebagai contoh SLICE – lihat www.nsrfharmony.org untuk protokol)
4. Kolaborasi (Collaboration) (a) Pasukan Melintang & Menegak (Horizontal and Vertical Teams) - Mengelola mesyuarat mengikut tahun atau tingkatan untuk perancangan bersama. Di samping itu mengendalikan mesyuarat mengikut panitia agar koordinasi dan kesinambungan antara tahun dan tingkatan dapat dicapai.
(b) Induksi Guru Baharu /Pementoran (New Teacher Induction / Mentoring) - Memastikan sokongan dan panduan berbentuk pedagogi, prosedur dan peribadi untuk staf baharu dalam profesion atau organisasi.
(c) Unit atau Projek antara Pelbagai Bidang (Interdisiciplinary Units and Projects) - Merangka unit dan projek antara pelbagai disiplin dan mata pelajaran.
(d) Kumpulan Penyelesai Masalah (Problem Solving Groups) - Satu kumpulan guru yang bersama-sama membincangkan suatu masalah. Seorang guru memberi deskripsi tentang suatu masalah. Guru-guru yang lain pula meminta penjelasan dan mengemukakan cadangan.
5. Norma dan Nilai Dikongsi Bersama (Shared Norms and Values) (a) Aktiviti Visi (Vision Activity) - Melibatkan staf dalam aktiviti untuk membangunkan gambaran masa depan organisasi. Bagaimanakah keadaan bilik darjah dan sekolah lima tahun dari sekarang?
(b) Panduan Berasaskan Prinsip (Guiding Principles) - Membangunkan satu set prinsip 4-6 untuk dijadikan panduan dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan.
(c) Aktiviti Nilai (Value Activities) - Mengelolakan aktiviti kumpulan kecil untuk membincangkan nilai organisasi.
(d) Strategi &Tradisi yang Dikongsi Bersama (Common Rituals and Strategies) - Bersetuju dengan strategi dan tradisi yang dikongsi bersama agar dapat menumpukan fokus dan mengukuhkan matlamat serta sasaran. Sebagai contoh, meraikan kejayaan dan peningkatan prestasi secara kerap.
Dipetik dari : Modul Komuniti Pembelajaran Profesional.